Ahad, Julai 23, 2006

Dunia bersatu atas 1 suara..

Penduduk dunia sepakat bantah keganasan Israel


SYDNEY: Beribu-ribu penduduk dunia daripada negara Islam sehingga ke bandar utama Eropah serta Australia mengadakan demonstrasi besar-besaran mulai kelmarin sehingga hari ini bagi membantah kerakusan tentera Israel mengganas di Lubnan.


Sambil membawa sepanduk besar, mereka turut melaungkan slogan dan menggesa rejim Zionis itu segera menamatkan serangan ke atas rakyat Lubnan yang tidak berdosa.

Tunjuk perasaan itu dimulai di kebanyakan negara Islam kelmarin, selepas selesai solat Jumaat.

Di DHAKA, Bangladesh sekurang-kurangnya 2,000 penduduk bertindak membakar bendera Israel dan sekutu utamanya, Amerika Syarikat.

Di KASHMIR yang ditadbir Pakistan, polis terpaksa menggunakan kayu belantan bagi meleraikan ratusan penunjuk perasaan yang menghalang lalu lintas.

Di ISLAMABAD, penunjuk perasaan mengecam Washington kerana menyokong Tel Aviv. Umat Islamnya turut mengadakan solat hajat di seluruh negara itu bagi mendoakan keselamatan penduduk Lubnan dan Palestin.

“Israel menyerang Lubnan dan Palestin hanya kerana ia disokong hebat Amerika,” kata ahli Parlimen, Fazal-ur Rahman di Peshawar.

Di JAKARTA, hampir 1,000 penduduk mengadakan beberapa bantahan berasingan di ibu negara Indonesia itu serta di bandar Ambon. Mereka membawa sepanduk dan mengibarkan bendera Lubnan dan Palestin sebagai menyatakan sokongan terhadap mangsa keganasan Israel.

Di AMMAN, ribuan penduduk Jordan memenuhi jalan raya bagi menyatakan sokongan ke atas kumpulan Hizbullah dan Hamas yang menjadi sasaran serangan Israel.

Di KAHERAH, pergaduhan turut tercetus di Masjid al-Azhar selepas anggota polis berpakaian biasa menghalang penunjuk perasaan berarak di jalan raya.

Beribu-ibu lain sebaliknya terus mengadakan bantahan di laman masjid itu.

Di KHARTOUM, Sudan, seramai 1,000 orang berarak bersama barisan pemimpinnya.

Di TRIPOLI, Libya, seramai 4,000 orang berarak di jalan raya bagi menyatakan sokongan ke atas pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah. Perarakan itu anjuran Yayasan Gaddafi diketuai Saif al-Islam anak pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

Di SYDNEY, lebih 10,000 penduduk Australia berarak ke seluruh bandar raya terbesar negara itu semalam menggesa rejim Zionis itu menamatkan serangan ke atas Lubnan.

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Australia dan Lubnan serta membawa keranda dan sepanduk, ‘Tiada Perang’ ketika menuju ke Sydney dengan diiringi kira-kira 400 anggota polis.

Bekas tahanan Teluk Guantanamo, Mamdouh Habib, dan pemimpin kerohanian komuniti Islam Australia, Sheik Taj Aldin Alhilali, turut menyertai bantahan yang diadakan secara aman itu.

Seorang wanita Australia berketurunan Lubnan yang cuma memperkenalkan dirinya sebagai Diana, memberitahu Australian Associated Press dia bimbang dengan keselamatan keluarganya di Lubnan.

“Israel membunuh kanak-kanak dan mengebumikan mangsa di bawah runtuhan. Sesuatu perlu dibuat mengenai perkara ini. Ibu dan bapa saya berada di Lubnan, datuk saya di kawasan pergunungan dan abang saya serta keluarganya bertuah kerana dapat menyelamatkan diri,” katanya.

Di BERLIN, beribu-ribu penunjuk perasaan menyertai bantahan ke atas pengeboman Israel di Lubnan dengan berarak di pusat ibu negara Jerman berkenaan.

“Israel menghisap darah anak-anak kita.”

Di AMMAN, ribuan penduduk Jordan memenuhi jalan raya bagi menyatakan sokongan ke atas kumpulan Hizbullah dan Hamas yang menjadi sasaran serangan Israel.

Di SAO PAULO, Brazil, demonstrasi secara aman turut diadakan di bandar itu dengan kebanyakan peserta mengibarkan bendera Lubnan.

Di COPENHAGEN, Denmark, seramai 1,000 orang berkumpul di Dataran Bandar Raya bagi menyatakan bantahan di atas serangan Israel di Lubnan.

Di BERN, Switzerland, seramai 1,200 orang mengadakan tunjuk perasaan bagi menyatakan sokongan dan simpati ke atas rakyat Lubnan

“Israel bukan saja perlu menamatkan serangan, tetapi membebaskan tahanan Arab,” kata mereka.

Di VIENNA, seramai 400 orang menyertai bantahan di depan Kementerian Luar Austria. Majoriti penunjuk perasaan aman itu adalah mereka yang berketurunan Lubnan, Palestin, Iraq, Turki dan rakyat Austria sendiri. Mereka turut menyerahkan petisyen kepada kementerian itu bagi campur tangan menamatkan keganasan Yahudi.

Sementara itu di kota LONDON beribu-ribu orang bersiap sedia untuk menyertai bantahan besar-besaran di seluruh Britain bagi mengecam keganasan negara Yahudi itu.

Bantahan di London sehingga ke Glasgow dan Kirkcaldy, turut dilihat menjadi tekanan ke atas kerajaan Britain.

Andrew Burgin, wakil Stop the War Coalition, antara penganjur meramalkan 10,000 orang akan menyertai bantahan itu di London. – Agensi

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP