Ahad, September 17, 2006

Ramai lebih tahu 9/11 berbanding 9/16

Duka Sabra, Shatila makin dilupa




Hegemoni Amerika, manipulatif media jadikan kekejaman Israel sebagai tindakan sah

APA beza 9/11 dan 9/16? Ramai masyarakat masa kini lebih mengetahui 9/11.

Tarikh 9/11 adalah serangan terburuk ke atas bumi Amerika Syarikat pada 11 September 2001 apabila tiga kapal terbang komersial melanggar bangunan World Trade Center di New York dan Jabatan Pertahanan Amerika (Pentagon) di Washington, manakala pesawat keempat yang terbabit dalam siri serangan itu kononnya terhempas. Hampir 3,000 orang terbunuh.

Kesannya, Amerika melancarkan kempen serangan balas atas nama antikeganasan yang menyaksikan umat Islam dunia menjadi sasaran dan ia semakin hangat diperkatakan ketika ulang tahun kelima tragedi itu beberapa minggu lalu.

Tetapi apa pula 9/16? Pada 16 September 1982, sebenarnya berlaku detik amat hitam dalam sejarah dunia. Dan semalam adalah ulang tahun ke-24 kejadian itu dengan tiada sebarang upacara mengutuk serangan paling kejam rejim Israel dan militia yang disokongnya ke atas rakyat Palestin di kem pelarian Sabra Shatila yang didiami 14,000 orang.

Kira-kira jam 9 pagi 9/16, militia Phalangist mula membunuh antara 700 hingga 3,500 penduduk Arab di barat Beirut secara sistematik bagi membalas dendam pembunuhan pemimpin mereka Bashir Gemayel. Ribuan lagi cedera dan ramai mengalami trauma akibat dirogol di depan keluarga atau anak-anak dalam keganasan yang berlangsung hanya dalam masa tiga hari.

Kisah kezaliman Israel itu diceritakan oleh pemberita Britain, Robert Fisk yang tiba membuat liputan serangan Sabra Shatila dengan menyatakan:

“Saya menelusuri jalan yang amat mengerikan buat pertama kali dalam hidup saya di kem Sabra Shatila ketika militia masih melakukan pembunuhan dan merogol. Mayat bertaburan dipenuhi lalat, mayat wanita sudah bengkak, jasad bayi bergelimpangan dengan kesan peluru di kepala.”

Pembunuhan dilakukan ketika tentera Israel mengepung dan menutup kem itu dan dianggap kekejaman terburuk Israel dalam konflik Asia Barat. Kejadian itu dikutuk oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggap sebagai pembunuhan beramai-ramai menghapuskan etnik.

Menteri Pertahanan ketika itu, Ariel Sharon, yang mengetuai sendiri pasukan tentera Israel mengepung kem pelarian itu didapati bertanggungjawab penuh oleh badan siasatan dalaman Israel tetapi akhirnya beliau dijulang sebagai wira Israel dan beberapa kali menjadi perdana menteri negara itu.

Pemerintah Phalangist, Elie Hobeika, tidak pernah dibicarakan dan kemudian menjadi menteri dalam kerajaan Lubnan.

Beliau akhirnya dibunuh dalam satu serangan pada 2002.

Tetapi mengapa pembunuhan kejam di Sabra Shatila dilupakan berbanding banyak lagi kekejaman yang lainnya.

Nama Sabra dan Shatila tidak begitu diketahui ramai generasi muda atau masyarakat selain daripada Arab dan kini tragedi kekejaman Israel itu umpama sebutir buih di lautan tragedi dunia. Dilupakan dan sengaja didiamkan.

Tetapi pada masa sama orang lebih mengetahui apa itu Holocaust iaitu tuduhan kekejaman Nazi Jerman ke atas penduduk Yahudi yang faktanya boleh dipersoalkan sehingga kini. Bercakap mengenai Nazi, ramai juga yang lupa kekejaman rejim itu yang membunuh ribuan golongan komunis, militan sosialis, orang cacat dan homoseksual. Itu juga kekejaman era itu tetapi mengapa Holocaust diperbesarkan.

Apa pun, kekejaman Sabra dan Shatila lebih dahsyat berbanding Holocaust. Holocaust lebih banyak pendedahannya, termasuk tindakan mendirikan muzium, menerbitkan buku atau menghasilkan filem. Hampir tiada pula usaha itu untuk Sabra dan Shatila.

Punca mengapa Holocaust dan 9/11 dikenang adalah angkara kemahuan dan kesungguhan politik serta pengaruh media. Dan ketika media dikuasai dan dimanipulasi Barat, segala perjuangan penduduk Arab di Asia Barat akan cuba dipendamkan, malah dianggap pula sebagai elemen pengganas.

Dan ini juga yang berlaku untuk peristiwa Sabra dan Shatila apabila tidak banyak lagi laporan mengenainya, sekadar menggambarkan tindak balas sah rejim Israel walhal hakikatnya adalah kekejaman mutlak rejim Yahudi itu.

Seterusnya, apabila difikirkan lagi, kita melihat bahawa pembunuhan beramai-ramai oleh Amerika dan sekutunya tidak akan didakwa. Lihat kesan perang antikeganasan Amerika selepas 9/11.

Lebih 62,000 atau dikatakan 180,000 orang maut tetapi dunia menganggapnya sah. Begitu juga dengan pembunuhan yang dilakukan Israel di Palestin. Beribu-ribu maut terutama sejak lima tahun kebelakangan ini.

Sebaliknya, pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh negara yang dianggap bukan rakan Amerika menyaksikan pemimpinnya terpaksa dihukum sama ada negara itu ditakluk atau menghadapi pelbagai ancaman serta sekatan. Contoh, Saddam Hussein di Iraq atau Slobodan Milosevic di Yugoslavia.

Oleh kerana Israel menjalankan tugas memastikan kepentingan Amerika di Asia Barat terpelihara, ia seolah-olah dibenarkan melakukan apa saja yang dikehendakinya malah ditawarkan pelbagai bantuan termasuk senjata.

Ia boleh mencabuli ketetapan PBB, menakluk negara jirannya, menggugurkan bom ke atas penduduk awam, mendera tahanan, memiliki senjata pemusnah, memusnahkan bandar raya atau apa saja tanpa hukuman.

Israel boleh melakukan apa saja kerana PBB tidak lagi dilihat sebagai badan bebas, pihak berkuasa berdaulat atau badan penguatkuasa undang-undang.

Apa yang pasti, dunia masa kini menganggap siapa yang digelar musuh Amerika semata-mata kerana negara itu mempunyai pendirian yang berbeza dengan Washington, adalah musuh mereka juga.

Terima kasih kepada kekuatan politik Amerika dan sekutunya selain pengaruh media yang dikawal mereka.

Jadi anggapan masa kini, sebarang jenayah kemanusiaan, pencabulan hak asasi atau melanggar ketetapan PBB, tertakluk kepada dasar sesebuah negara itu terhadap Amerika. Jika ia menyokong Washington, segala-galanya beres tetapi jika sebaliknya, ia pasti akan dihukum.

Itulah yang berlaku. Dan sebab itu Israel boleh melakukan pembersihan kaum di Sabra dan Shatila atau menakluk Lubnan dengan memusnahkan segala kemudahan awam di negara itu dalam perang selama 34 hari yang berakhir 16 Ogos lalu.

Isu Sabra dan Shatila akan hilang daripada lipatan sejarah manakala isu Lubnan kena bom juga akan lenyap daripada ingatan manusia.

Isu Palestin dan Iraq juga terus dilupa hinggakan ada pihak yang menyatakan, tiada lagi nilai berita jika ada yang terbunuh di dua kawasan itu. Semua angkara hegemoni Amerika dengan PBB menjadi budak suruhannya.

Jelas, sejarah jika ditulis oleh mereka yang berkuasa, pasti lain daripada hakikatnya.

0 komentar:

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP