Sabtu, November 20, 2010

Siswa Dot Com: Kelab malam melalui ETP rencatkan imej negara

Salam,

Tersangat lama lah tak update blog ini. Daripada bulan Mei! Aduh. Maybe i'm not into blogging anymore..tapi takpela. Update jugakla kali ini.

One of my writings keluar dalam ruangan Varsiti, Berita Harian baru2 ini mengenai ETP. Boleh baca seterusnya di bawah:

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Siswa Dot Com: Kelab malam melalui ETP rencatkan imej negara


2010/11/19

KELAB malam boleh memberi kesan sosial dan punca kerosakan imej negara.
USAHA kerajaan melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai strategi meningkatkan pendapatan negara ialah usaha yang amat progresif. Di samping itu, pertambahan peluang pekerjaan antara kesan baik yang bakal dinikmati oleh rakyat apabila projek ini menjanjikan 3.3 juta pekerjaan baru menjelang 2020.

Namun, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) melahirkan rasa bimbang terhadap usaha transformasi ekonomi melalui industri pelancongan. EPP Ke-8 dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) Pelancongan menyasarkan penubuhan enam kelab malam baru yang bakal menampung 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. Menjelang 2014, disasarkan sekurang-kurangnya 10 kelab malam akan beroperasi di zon hiburan baru hasil daripada projek ini.

Meskipun RM0.7 billion pendapatan negara kasar (GNI) akan diperoleh dan 5,600 peluang pekerjaan akan ditawarkan menjelang 2020, ia dilihat suatu yang bertentangan dengan cita-cita Wawasan 2020 yang ingin menjadikan Malaysia maju dengan gaya dan acuan tersendiri. Sebagai negara Islam dan majoriti rakyat beragama Islam, usaha menambahkan lagi pusat hiburan ini tidak dilihat selari dengan amalan dan nilai budaya negara ini.

KARISMA menggesa agar kerajaan melihat dengan teliti kesan sosial yang akan berlaku apabila pusat hiburan sebegitu ditambah. Dari sudut ekonomi ia mungkin menguntungkan negara, tetapi dari sudut sosial, tiada yang dapat menafikan bahawa kebejatan sosial juga pasti bertambah. Suasana hiburan melampau hari ini dan kesannya pada masyarakat seharusnya sudah cukup membimbangkan kita semua apabila kes rempit, rogol, dadah, ragut, samun, perkosa dan lain-lain tidak menunjukkan penurunan.

Amat menghairankan apabila pemimpin negara hanya memandang proses transformasi ini dari sudut pendapatan negara saja walhal menutup sebelah mata terhadap kesan sampingan yang bakal terjadi. Alasan menarik pelancong asing melalui pembinaan kelab malam adalah suatu alasan yang tidak kukuh serta bakal merosakkan negara.

KARISMA mendesak agar kerajaan membuktikan sumbangan langsung kepada pembangunan negara yang diperoleh daripada pembukaan kelab malam selain dari sudut ekonomi dan peluang pekerjaan.

Pelbagai industri yang bertentangan dengan nilai moral dan agama juga mendapat keuntungan hasil pembukaan zon hiburan dan kelab malam ini. Antaranya industri arak dan pelacuran sehingga akhirnya membawa kesan jangka panjang yang lebih parah seperti perzinaan, pembuangan bayi, penggunaan dadah serta kerosakan akhlak lain.
Selama ini kerajaan berusaha bersungguh-sungguh membendung budaya negatif ini, namun ruang yang disediakan cukup luas untuk masalah itu berkembang. Siapakah yang dapat menjamin bahawa pembukaan zon hiburan baru dan pertambahan kelab malam ini akan menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang lebih berakhlak mulia?

Lebih baik sekiranya wang ringgit untuk zon hiburan dan kelab malam ini dilaburkan kepada ruang yang lebih sihat seperti memajukan lokasi yang melambangkan budaya Malaysia bersesuaian dengan tuntutan agama. Nilai positif dan berakhlak harus diterapkan dalam memajukan sektor pelancongan Malaysia sesuai dengan budaya Timur yang telah sekian lama diamalkan.

Pendekatan holistik dan bersepadu juga harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam membina negara yang maju baik aspek material mahupun moral masyarakat. Seharusnya pemimpin negara mengaplikasian ayat al-Quran dalam Surah Saba’ ayat ke-15 yang menyebut ‘Negara yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun”. Kita mahukan negara yang baik di sisi Allah yang akhirnya memberikan keampunan buat rakyatnya. Hanya dengan keredaan Tuhan saja akan menjadikan negara ini sentiasa sejahtera dan makmur.

PRESIDEN
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA-JIM)

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SiswaDotCom_KelabmalammelaluiETPrencatkanimejnegara/Article/index

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP