Isnin, April 07, 2008

Kenyataan Rasmi Rakan Masjid

Bismillah~

(saya mode)

Atas permintaan saudara Amir, Pres RM, saya telah uplod kenyataan rasmi dari beliau berhubung dengan isu peperangan banner dan entry blog saya yg bertajuk “Sediakan alternatif & cari punca”. Saya memohon maaf pada saudara Amir kerana meng-upload kenyataan beliau ini agak lewat daripada hari yg beliau minta saya upload atas sebab, semasa attempt saya kali pertama utk upload kenyataan ini, berlaku masalah teknikal yg tidak diingini.

Adalah hasil pertemuan saya bersama Pres RM, disertai gurau senda yg bersahaja, beliau telah menjelaskan (juga ada disebut dalam kenyataan di bawah) bahawa segala yg berkenaan peperangan banner tersebut adalah bukan dibawah arahan beliau sebagai Pres RM. Dapatlah disimpulkan bahawa pihak2 yg telah mengeluarkan kain rentang, menerbitkan blog anti-euph & perhimpunan tersebut bukanlah hasil inisiatif dan bukanlah arahan pimpinan RM. Ianya merupakan tindakan pihak2 yg diluar batas dan kuasa RM sendiri dalam mengawalnya.

Mungkin ada pihak yg akan kata “alah..dah sejuk2..baru nak kuar statement kata tak mengaku”, namun sebagai seorang Muslim yg mengamalkan prinsip keadilan dan bersangka baik, saya secara peribadinya meletakkan kepercayaan pada Pres RM atas statement yg dikeluarkan. Ini kerana sifat bersangka baik adalah sifat yg sepatutnya diamalkan oleh setiap insan. Janganlah kita pandai menghukum tanpa menyiasat.

Bagi diri saya secara peribadi, ingin saya katakan bahawa penulisan saya di artikel “Sediakan alternatif & cari punca” hanyalah pandangan peribadi saya dan bukanlah berpihak pada mana2 kelompok atau kumpulan. Oleh itu saya ingin memohon maaf pada pimpinan RM atau mana2 pihak sekiranya penulisan tersebut menyentuh hati kalian.

Ini kerana kemungkinan branding K&TL itu lebih hampir terkait dengan RM. Namun saya katakan bahawa saya menyebut perkataan PENYOKONG dalam penulisan tersebut. Ini bermakna ia tidak ditujukan pada mana2 kelompok yg khusus tetapi ia bermaksud umum. Saya jugak merupakan seorang penyokong K&TL. Walaubagaimanapun saya faham kerana RM dilihat sebagai entiti rasmi Islam dalam kampus maka secara umumnya, ia akan di-associate pada RM sendiri. Saya memohon maaf juga atas perkara tersebut.

Saya ingin juga menyatakan bahawa saya juga tidak menyokong event2 yang melanggar garis panduan Islam. Terutamanya jika pelajar Muslim menyertai event tersebut. Namun ia terpulang pada diri mereka masing2 yg sudah cukup matang dan pandai berfikir serta sudah diberi peringatan oleh pelbagai pihak termasuklah khutbah jumaat dan peringatan2 secara tidak rasmi lain. Ini kerana Allah telah mengilhamkan setiap jiwa itu jalan kefasiqan dan ketaqwaan (rujuk surah Ash-Shams), maka sebagai seorang Muslim, kalian berfikirlah apekah tindakan kalian itu mendapat pahala dan redha Allah atau tidak. Bagi event2 anjuran Non-Muslim pula, saya merasakan mereka pun juga pandai berfikir utk melaksanakan event itu adakah ianya baik atau tidak kerana saya percaya agama yg mereka pegang juga mengajak manusia ke arah kebaikkan.

Jadi, nilaian kebaikkan itu harus diteliti dengan baik oleh seorang Muslim terutamanya. Adekah percampuran lelaki dan perempuan itu baik? Jika ya..kenapa Allah melarang? Adakah hiburan yang disalurkan itu baik? Jika ya..kenapa ade ulama’ mengharamkan? Ini sepatutnya perlu difikir oleh setiap orang Muslim.

Saya juga ingin meminta dan menyeru pada pihak2 yg telah melampaui batas luar kemampuan pimpinan RM dalam melakukan perbuatan2 seperti mengeluarkan kain rentang, blog dan melakukan perhimpunan utk tidak terburu2 dalam melakukan sesuatu tindakan yang bakal menjadi fitnah pada pihak2 tertentu dan juga fitnah pada Islam. Perbuatan kalian itu amat2lah menyedihkan dan sepatutnya pihak2 yg melakukan perbuatan tersebut berfikir dahulu sblm melakukan tindakan itu. Jangan sampai kita melakukan sesuatu yg memburuk & mengeruhkan keadaan.

Akhir sekali saya berpesan pada diri saya dan kawan2 yg lain, marilah sama2 kita hindari sifat suka condemn, suka complain tapi semaklah diri apa yg kita sudah lakukan utk memperbaiki keadaan? Ada pihak yg suka complain setiap masa. Sepertinya, apabila RM tidak melakukan ape2 utk menentang kemungkaran, akan ada pihak yg mengatakan “ape la RM ni kata persatuan Islam tapi tak buat pape pun orang buat maksiat nih?”. Namun apabila RM melakukan tindakan, maka ada yg akan kata “ape RM ni kacau2 event orang? Buat event waktu sama la..takde masa lain ke nak buat?”. Maka saya percaya RM akan melakukan tindakan yg telah digariskan oleh AlQuraan & Sunnah serta nasihat pihak yg benar. Walaupun perbuatan mereka tidak semestinya tepat, tetapi haruslah kita juga menilainya adakah mereka laksanakan itu berlandaskan syariat & disuruh oleh Allah. Jika YA, maka kita wajib menyokong. Jika TIDAK, maka kita wajib menolak.

Sekali lagi ingin saya memohon maaf atas kekurangan diri saya sendiri. Moga kita semua diberikan hidayah dan rahmat oleh Allah dan berusaha menjadikan suasana kampus kita dengan suasana yg baik, tenang, harmoni dan diredhai Allah.

Wassalam

________________________________________________________

ASSALAMUALAIKUM W.B.T. & SALAM SEJAHTERA.

Sejak akhir-akhir ini, kedengaran suara-suara yang bercakap perihal pelbagai isu yang dikaitkan dengan nama Rakan Masjid (RM). Kenyataan rasmi ini dikeluarkan bertujuan untuk sedikit sebanyak memberikan penerangan dan maklum balas di atas isu-isu berkenaan, supaya dapat mengelakkan salah faham daripada terus berlaku.

Saya mengharapkan pembaca-pembaca dapat menilai dengan penilaian yg adil dan memberikan sedikit keterbukaan dalam menerima setiap isi yang disampaikan. InsyaAllah, kenyataan ini tidak bertujuan untuk menghukum mana-mana pihak tetapi lebih kepada mendasari kepada sebarang isu yg timbul.

Banner Heart for Islam (H4i)

Amat mendukacitakan apabila insiden banner H4i diconteng oleh pihak yg tidak bertanggungjawab. Insiden seumpama ini merupakan perkara yg pertama kali berlaku di kampus di mana ia mencetuskan rasa sedih, marah, kecewa & simpati kerana ia dilihat sebagai perbuatan yg tidak bermoral & tidak berakhlak.

Dalam kes ini, pihak RM tidak terburu-buru dalam membuat sebarang pertuduhan. Kami bertindak dalam kerangka undang-undang universiti iaitu membuat laporan rasmi kepada pihak Rektor dan Sekuriti U*TP bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya. Dari sudut organisasi, arahan telah dikeluarkan agar semua ahli RM tidak mengambil sebarang tindakan sendiri dan tidak terpengaruh dengan segala provokasi yg bersifat murahan. Untuk makluman, pihak H4i telah pun menempah 3 banner baru bagi menggantikan banner yg asal.

Rentetan daripada insiden tersebut, ada pihak yang cuba untuk melaga-lagakan RM dengan pihak penganjur program Euphonius. Untuk itu, satu pertemuan rasmi seliaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPPU*TP) telah pun diadakan antara pihak RM dengan pihak penganjur Euphonius bagi mengelakkan salah faham daripada terus berlaku. Alhamdulillah, salah faham telah dapat dielakkan dan kata sepakat telah dicapai secara bersama. Segala perbincangan telah dirakam secara audio dan telah dilaksanakan secara professional oleh kedua-dua pihak.

Hedonisme

Kami juga merupakan seorang mahasiswa seperti saudara-saudari sekalian. Kami juga remaja, mendengar lagu, memerlukan hiburan, sama seperti saudara & saudari sekalian. Adalah satu pembohongan sekiranya kami (RM) mengatakan kami tidak memerlukan hiburan.

Saudara, saudari yg dikasihi sekalian,

Hiburan merupakan satu lumrah dalam memenuhi keperluan pancaindera seseorang manusia. Islam tidak menolak hiburan. Ianya satu agama yg mengikut lumrah kehidupan manusia. Hukumnya adalah harus. Namun ianya juga boleh bertukar kepada haram sekiranya ianya jelas bertentangan dengan garis panduan dan batasan Islam. Sebagai analogi, manusia memerlukan garam tetapi terbatas kpd amaun yg tertentu. Kurang garam mendatangkan masalah, terlebih garam pula mendatangkan penyakit. Sama seperti hiburan, tanpanya kita kebosanan tetapi sekiranya berlebihan pula boleh mendatangkan mudarat.

Dalam memilih hiburan, Dr Yusuf al-Qardawi telah menggariskan 4 elemen penting bagi dijadikan rujukan.

  • Penyanyi – hendaklah menutup aurat, bukan seorang wanita
  • Persembahan – terjaga dari segi akhlak & perbuatan, tiada penari wanita
  • Penonton – terpelihara daripada percampuran antara lelaki & perempuan yg bukan mahram, menjaga akhlak & perlakuan
  • Lagu/lirik – tidak menaikkan syahwat, tidak memuja manusia secara berlebihan

Sekiranya majlis itu mengikut seperti yg dinyatakan di atas, tiada sebarang masalah utk kita hadiri dan menikmatinya bersama. Sekiranya ia mengingkari tatatertib ini, jelaslah ia merupakan satu majlis yg bertentangan dengan dasar seorang muslim.

Di pihak RM, sememangnya kami tidak bersetuju dengan penganjuran program seperti Euphonius. Stand ini dipersetujui bersama oleh majlis tertinggi RM dan pihak pengurusan masjid An-Nur sendiri. Untuk itu, satu memorandum rasmi telah dihantar kepada pihak pengurusan U*TP dan beberapa pertemuan telah diadakan dengan pihak pengurusan bagi membincangkan hal ini. Perkara ini turut dijelaskan kepada pihak penganjur Euphonius dalam pertemuan rasmi seperti yg telah dinyatakan sebelum ini. Resolusi yg dipersetujui bersama adalah kedua belah pihak akan meneruskan agenda pihak masing-masing.

Amar Makruf Nahi Mungkar

RM merupakan sebuah badan pelajar yg bermatlamatkan pembinaan bi’ah (suasana) solehah di U*TP. Setiap pelaksanaan aktiviti dan tindakannya adalah di bawah pantauan dan kelulusan pihak pentadbiran masjid dan juga pihak universiti. Dalam memenuhi kewajipan selaku badan pelajar Islam, kami melaksanakan tindakan amar makruf (mengajak kpd kebaikan) dan juga mencegah kemungkaran mengikut kapasiti yg dibenarkan.

Secara rasmi, tindakan yg telah diambil dan dipersetujui adalah seperti berikut:

  • Pertemuan rasmi dengan pihak penganjur
  • Perbincangan antara RM dan pihak pengurusan universiti
  • Menyentuh isu berkaitan hiburan di setiap kuliah maghrib
  • Mengadakan road-show “Hiburan Mengikut Islam” di cafe-cafe pada 27 March
  • Pendidikan melalui flyers dan risalah Suara An-Nur pada hari Jumaat
  • Melipat-gandakan usaha promosi aktiviti H4i
  • Menyampaikan kefahaman melalui kumpulan-kumpulan kecil dan Smart Group (Usrah)

Semua perkara di atas adalah perkara yg telah mendapat kelulusan pihak universiti. Setiap usaha rasmi RM mempunyai logo rasmi dan sebarang terbitan risalah atau poster mempunyai cop pengesahan. Usaha-usaha selain daripada perkara di atas sama ada bersifat kumpulan atau individu bukanlah atas arahan kepimpinan Majlis Tertinggi RM. Diharapkan saudara-saudari kini lebih jelas & tidak menghukum kami di pihak RM berdasarkan kerja-buat selain daripada perkara di atas.

Rakan-rakan yg dihormati,

Usaha dakwah haruslah disampaikan dengan cara berhikmah. RM bukanlah golongan yg terbaik namun alhamdulillah, RM dinasihati oleh ustaz-ustaz yg mempunyai ketajaman ilmu dan pendapat yg jelas. Selain menyeru pelajar Islam ke arah kebaikan, kerja-kerja mencegah kemungkaran tetap perlu dilaksanakan bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w,

“Barangsiapa melihat kemungkaran hendaklah dia mencegahnya dengan tangan (kuasa). Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia mencegahnya dengan lisan. Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia mencegahnya dengan hati. Dan itu adalah selemah-lemah iman.”

Hadith di atas menyeru kita untuk melaksanakan pencegahan atas perkara mungkar dengan sedaya upaya mengikut kemampuan & keterbatasan kita. Usaha tersebut bukanlah hanya wajib kepada RM, bahkan kepada seluruh umat manusia yg menganuti agama Islam. Terima kasih & tahniah kepada mana-mana pihak mahu pun individu yg sama-sama melaksanakan tangungjawab tersebut.

Akhir sekali terpulang kepada warga kampus untuk memilih jalan masing-masing. Pendidikan telah disampaikan, pencegahan telah dibuat. Semoga kita sama-sama diberikan taufiq & hidayah dalam setiap keputusan yg dibuat.

Penutup

Bagi pihak RM, kami memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kesulitan yg berlaku atas kelemahan pihak kami. Diakui masih banyak perkara yg perlu diberikan perhatian. Di pihak Majlis Tertinggi RM, kami telah berusaha dari semasa ke semasa untuk tujuan pembaikan. Kami mengharapkan kerjasama & sokongan semua warga kampus dalam membantu mewujudkan bi’ah solehah di kampus U*TP yg dicintai. Pandanglah setiap perkara dengan pandangan agama, hakimi setiap kejadian dengan penilaian al-Quran & al-Hadith. Semoga usaha kerdil ini mendapat pandangan rahmat daripada Allah swt.


“Bersama Membina Bi’ah Solehah”


Amir Fadhli Bin Razali,
Presiden Rakan Masjid 07/08
Ibn.razali85@gmail.com

0 komentar:

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP