Selasa, Julai 25, 2006

Akhbar Berita Harian 25 Julai 2006

10,000 remaja bermasalah


Polis syor akta kelakuan antisosial diwujudkan bendung gejala negatif

KOTA BHARU: Polis mencadangkan akta kelakuan antisosial diwujudkan di negara ini bagi membendung gejala negatif di kalangan remaja termasuk kesalahan juvana, penyalahgunaan dadah dan vandalisme.

Mengikut perangkaan polis, kira-kira 10,000 remaja termasuk 4,000 yang masih bersekolah daripada 156,000 remaja di negara ini terbabit dengan kes jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata menerusi undang-undang itu, ibu bapa atau premis hiburan boleh dihukum jika ada remaja terbabit dalam kegiatan antisosial.

Katanya, ketika ini, akta seumpama itu diguna pakai di England sejak 2003, dikatakan mampu membendung gejala antisosial di kalangan remaja negara itu kerana turut membabitkan penyertaan ibu bapa serta masyarakat.

"Antara kesalahan yang sering dilakukan remaja ialah vandalisme, kelakuan tidak senonoh, ponteng sekolah, minum arak dan merokok.

"Di England, premis hiburan boleh ditutup selama dua bulan jika didapati menjual arak kepada remaja bawah umur, ibu bapa pula boleh dikenakan hukuman termasuk menjalankan kegiatan komuniti jika anak mereka terbabit dalam kes vandalisme.

"Saya rasa akta sama perlu diwujudkan di negara ini bagi membendung kegiatan antisosial. Perkara ini pernah diutarakan sebelum ini dan kalau mahu jadikannya sebagai undang-undang langkah pertama ialah penyediaan draf," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas Pembentangan Hasil Kajian Tingkah Laku Anti Sosial Remaja Kota Bharu, di sini, semalam. Turut hadir Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah.

Kajian sejak awal tahun ini itu dijalankan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Halim Salleh, Prof Madya Dr Tham Winn dan Siti Hawa Ali.

Sejurus selepas pembentangan kajian itu, satu perbincangan oleh ahli panel terdiri daripada beberapa pihak termasuk pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan turut diadakan.

Ahli panel terdiri daripada Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Kelantan, Patah Mahmood; Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Kelantan, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar; Timbalan Mufti, Datuk Mohd Shukri Mohamad dan Pengarah Pelajaran, Ismail Md Noor.

1 komentar:

Tanpa Nama 1:31 PG  

best regards, nice info »

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP